Thursday, February 28, 2008

Sabar


1. Sabar diletakkan sebelum Solat di dalam firman Allah SWT:

"Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat" (Al-Baqarah 2:40)

2. Sabar disebut di dalam Al-Quran lebih dari 70 kali. Antaranya:

"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi kesukaran dalam
mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih
daripada kesabaran musuh) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di
daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu
berjaya" (Ali Imran 3: 200)


3. Sumber kesabaran adalah Iman dan Taufiq daripada Allah. Ia tidak mungkin
hanya bergantung kepada azam dan semangat semata-mata. Firman Allah:

"Dan bersabarlah kamu, bahawasanya kesabaran kamu itu tidak mungkin melainkan
dengan Allah." (An-Nahl 16: 127)


4. Sabar juga menjadi nasihat utama yang diberikan oleh Luqman Al-Hakim kepada
anaknya ketika menyebut tentang kewajipan solat serta mengerjakan al-amr bil
ma'ruf wa an-nahy 'an al-munkar. Firman Allah:

"Dan bersabarlah kamu terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya ia merupakan
perkara yang memerlukan keazaman (yang kuat)" (Luqman 31: 17)

5. Allah juga memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Firmannya:

"Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu mereka
yang apabila ditimpa musibah mereka berkata 'Sesungguhnya kita ini adalah
kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kita kembali'. Mereka itulah yang (Allah
berikan) kurniaan (dan pengampunan) serta rahmat ke atas mereka, dan mereka
itulah orang-orang yang beroleh petunjuk." (Al-Baqarah 2: 155-157)


6. Mereka yang kehilangan sesuatu kerana sabar, dijanjikan Allah dengan gantian
yang lebih baik bahkan terbaik.

"Dan Kami pasti memberikan ganjaran kepada mereka yang bersabar, dengan ganjaran
yang terbaik di atas apa yang mereka lakukan" (An-Nahl 16: 96)

7. Perbuatan-perbuatan baik yang lain, Allah janjikan balasan tertentu untuknya.
Akan tetapi, ganjaran sabar tidak Allah tentukan bahkan kepada kadar yang tidak
mungkin dapat dihitung.

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar bakal beroleh ganjaran mereka
dengan keadaan yang tidak dapat dihitung." (Az-Zumar 39: 10)

8. Rasulullah SAW menyifatkan sabar sebagai Dhayâ iaitu sumber cahaya. Ertinya,
sabar itu adalah sumber kepada kebaikan-kebaikan yang lain.

9. Kerana sifat sabar, Allah SWT menjadikan segala urusan orang-orang yang
beriman itu baik. Rasulullah SAW bersabda:

"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah
kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja.
Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik
untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah
itu kebaikan untuknya." (Muslim)

10. Sesungguhnya bala bencana yang ditimpakan Allah ke atas seorang mukmin
adalah tanda bahawa Allah menginginkan kebaikan untuknya. Rasulullah SAW
bersabda:

"Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Dia akan mengujinya
dengan kesusahan" (Al-Bukhari)

"Sesungguhnya besar ganjaran adalah dengan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah
jika Dia mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji dengan ujian.
Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah. Barangsiapa yang tidak
bersabar, nescaya Allah juga tidak akan bersabar dengan mereka!" (At-Tirmizi &
Ibn Majah)

11. Sebahagian daripada sahabat Nabi RA pernah menyebut "Sesungguhnya kami tidak
menganggap iman seorang lelaki itu sebagai iman yang sebenar jika beliau tidak
bersabar apabila ditimpa ujian."

12. Sabar mestilah ditangani dengan perasaan tenteram tidak 'melatah' dengan
ujian yang datang. Lihat contoh kisah Ibu Musa AS semasa anaknya yang
dihanyutkan itu, ditemui di dalam istana Firaun. Firman Allah SWT:

"Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong (dari sebarang ingatan
kerana mengenangkan anaknya). Sesungguhnya nyaris-nyaris menyatakan perihal
anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan
perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang
percaya (akan janji Allah)." (Al-Qasas 28: 10)


DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS

ADMIN N MT RAUDHAH.COM

Tuesday, February 12, 2008

Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia supaya kamu menyuruh dengan makruf dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah...(Al Baqarah:110)